UPM Integrasi Modul AI for Research dalam Kursus Kaedah Penyelidikan Siswazah
SERDANG, 2 Oktober 2026

Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh agenda transformasi pendidikan tinggi melalui cadangan pengintegrasian kompetensi Kecerdasan Buatan (AI) dalam kursus Kaedah Penyelidikan bagi pelajar siswazah. Inisiatif tersebut telah dibentangkan oleh Prof. Ts. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain dari Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), UPM dalam sesi taklimat berkaitan pengintegrasian Modul AI for Research ke dalam kursus Kaedah Penyelidikan merentas kluster akademik di UPM.

Pelaksanaan modul ini selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Pengajian Siswazah Malaysia 2026-2030, yang menekankan pembangunan kompetensi AI dalam kalangan pelajar siswazah bagi meningkatkan literasi digital, integriti akademik serta keupayaan menghasilkan penyelidikan yang berkualiti, beretika dan berdaya saing.

Melalui modul AI for Research, pelajar akan didedahkan kepada kompetensi asas AI termasuk mereka yang mengikuti program bukan berteraskan AI. Pendekatan ini turut menyokong aspirasi UPM sebagai sebuah AI-Ready University dengan menyediakan graduan yang lebih bersedia menghadapi perubahan landskap penyelidikan dan keperluan pekerjaan pada masa hadapan.

Pengintegrasian AI dalam penyelidikan dijangka membantu meningkatkan produktiviti penyelidik, ketepatan proses analisis, keupayaan mengendalikan data serta kualiti dan ketelusan penulisan akademik. Pada masa yang sama, modul tersebut memberikan penekanan khusus terhadap penggunaan AI secara bertanggungjawab, merangkumi aspek etika, integriti akademik, keselamatan data serta pematuhan kepada dasar dan garis panduan universiti. Pelaksanaan modul ini turut melibatkan pendekatan micro-credential dengan komponen penilaian sebanyak 5 peratus dalam kursus berkaitan. Pelajar akan diberikan akses kepada platform AI melalui portal PutraEX, manakala pensyarah akan menerima akaun khusus serta kunci pendaftaran bagi membolehkan pengurusan akses pelajar dilaksanakan secara tersusun.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen UPM dalam memastikan teknologi AI dimanfaatkan bukan sekadar sebagai alat peningkatan produktiviti, tetapi sebagai pemangkin kepada amalan penyelidikan yang berkualiti, telus, bertanggungjawab dan berintegriti.